Friday, February 10, 2012

Tolak YB yang suka berkhidmat?

Dalam arena politik negara ini yang tiada perbahasan ideologi, para ahli politik kita hanya mampu menawarkan pakej ‘perhidmatan YB’ dalam memancing undian. Maksud ‘perkhidmatan’ yang ditawarkan sebenarnya kebanyakkan daripadanya ialah kerja am , seperti ‘memerhati keadaan longkang yang tersumbat’, ‘menengok keadaan jalan raya yang rosak’ atau kadang-kala cuba membantu para pelajar cemerlang yang gagal memasuki Universiti atau mendapat biasiswa. ‘Perkhidmatan’ menjadi senjata yang paling berguna oleh setiap ahli politik Malaysia dalam mengambil hati rakyat jelata.

Namun demikian, saya agak marah terhadap kerenah YB kita yang cuba mendapat mandat daripada para pengundi dengan cara ‘perkhidmatan’ yang ditawarkan ini. Para YB (tak kira Dewan Negeri atau Dewan Rakyat) yang mendapat mandat daripada para pengundi ini, mereka sepatutnya ialah melaksanakan kewajipan mereka dalam Parlimen/Dewan Negeri , tetapi bukan menghabiskan masa mereka dalam tugas ‘perkhidmatan’ seperti mengawasi keadaan jalan raya yang berlubang dan bertakungan air. Secara amnya, tugas YB ialah:


(a) menggubal dan memindah draft undang-undang negara, dan melakukan perbahasan demi mempertahankan atau membantah sesuatu dasar negara yang bakal dilaksanakan. Hal ini demikian dapat memastikan sesuatu dasar yang dikeluarkan oleh kerajaan dapat memenuhi kehendakkan rakyat secara maksimum.
(b) Mengawasi kuasa kerajaan, cuba mengimbangi kuasa kerajaan agar ia tidak menjadi terlalu berkuasa sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara
(c) Mewakili suara rakyat, cuba menjadi lidah dan suara rakyat dalam majlis parlimen ataupun dewan negeri
Mungkin ada orang yang akan berasa hairan dengan sikap saya yang menolak para YB kita yang cuba memberikan ‘perkhidmatan’ kepada para pengundi kawasannya. Tidakkah masalah sivik seharian rakyat juga penting? Bukankah jalan raya yang rosak dan parit yang tersumbat juga akan menjejaskan kehidupan seharian para rakyat? Apakah masalahnya kalau YB kita memberi tumpuan yang lebih dalam hal jalan raya mahupun parit ini? Persoalan inilah yang menjadi teras saya menolak YB yang suka berkhidmat daripada menggubal dasar dalam perlimen.

Jalan raya yang rosak atau longkang parit yang tersumbat, pihak yang perlu bertanggungjawab ialah kerajaan tempatan tetapi bukan YB. Namun, Pilihan raya tempatan Malaysia telah dibatalkan oleh kerajaan BN pada zaman konfrontasi Malaysia dengan Indoniesia. Selain itu ,kerajaan BN sentiasa menjadi kuat dan berkuasa dari sekian lama, jawatan kerajaan tempatan ini telah bertukar menjadi sumber percaturan kepentingan puak–puak politik tempatan masing-masing. Keadaan ini menjadikan kerajaan tempatan menjadi sebuah badan yang tidak menghadapi tekanan daripada undian rakyat, sekaligus mengurangkan kecekapan mereka. Preatasi kerajaan tempatan yang lemah ini merupakan punca utama keadaan jalan raya dan longkang yang rosak tidak dapat diselesaikan dengan segera, malahan perlu menyusahkan para YB datang bergambar di tempat kejadian agar dapat perhatian daripada pihak berkenaan. Cuba bayangkan, kalau kita mempunyai suatu pasukan kerajaan tempatan yang tinggi preatasi mereka, dan jawatan mereka akan dibuang (melalui undian pengundi) jika preatasi mereka tidak memuaskan, bukankah masalah jalan raya dan parit ini dapat diselesaikan dengan baik dan cepat?

Masalah yang sama juga berlaku dalam masalah biasiswa dan kemasukkan universiti. Masalah ini timbul kerana dasar kerajaan dalam bidang ini tidak cekap dan proses pemilihan penerima biasiswa menjadi ‘misteri kotak hitam’ setiap tahun. Kalau negara ini mempunyai suatu dasar yang sempurna dan ‘transparent’, maka segala masalah biasiswa dan kemasukkan Universiti dapat diselesaikan dengan baik dan kurang kontroversi. Selain itu, YB yang menitikberatkan ‘perkhidmatan’ juga merupakan menteri yang lalai dalam menjalani tugas mereka. Mereka gagal berjuang hak rakyat dalam dewan ataupun kabinet, tetapi hanya mampu melakukan ‘kerja penyelamatan’ setelah sesuatu dasar telah dikeluarkan. Kelakuan mereka yang seolah-olah mulia dalam memperjuangkan kepentingan rakyat setelah dasar telah dikeluarkan, merupakan ‘aksi’ yang cuba mengaburi mata rakyat daripada kisah sebenarnya yang mereka lalai dalam tugas.

Mungkin juga ada pengundi yang akan bertanya, salahkan kalau YB ini suka berkhidmat kepada masyarakat daripada bertikam lidah dalam dewan? Ya, ahli politik yang ‘suka berkhidmat’ kepada rakyat memang merupakan suatu kebahagiaan kepada rakyat, tetapi ini tidak menjadi alas an untuk menghantar mereka masuk ke dalam Dewan Parlimen/ Negeri. Ahli Dewan dan Kerajaan tempatan masing-masing mempunyai tugas yang sendiri, hanya setiap pihak melaksanakan kewajipan sendiri dengan baik ,barulah negara ini dapat bekembang dengan maju dan makmur. Kalau rakyat memilih seorang YB hanya demi memantau keadaan longkang dan jalan raya, ini merupakan suatu pembaziran sumber negara. Bukankah kerajaan selalu berkata bahawa kita rakyat ini merupakan ‘boss’? kalau boss mengaji seorang CEO dengan bayaran yang tinggi, sudah tentu boss berharap bahawa CEO ini mampu membawa keuntungan yang banyak kepada syarikat. CEO yang sanggup mencuci tandas mungkin merupakan CEO yang ‘peramah ‘, tetapi kalau CEO tersebut gagal menjalankan tugas sebenarnya (membawa keuntungan kepada syarikat), maka segala usahanya yang kelihatan ‘peramah’ akan ditafsirkan pertunjukkan khas yang cuba menutup kelemahan sendiri yang tidak berkemampuan. (Di sini saya ingin menjelaskan bahawa saya bukan nak memandang rendah tugas orang yang berkelas rendah, setiap pihak berkerja keras dalam posisi sendiri akan memanfaatkan negara dan masyarakat.)
Saya rasa kita patut cuba menilai seorang calon politik dari segi adakah dia mampu menyelesaikan masalah kami dari segi sistem daripada hanya menawarkan ‘perkhidmatan’ sahaja? Kalau YB kita tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat dari segi sistem , maka sekuat mana pun mereka berkhidmat kepada rakyat juga tidak mendapat memuaskan hati kita. Bagi ahli politik yang ‘betul-betul suka berkhidmat kepada rakyat’, mungkin mereka tidak dapat masuk ke dalam dewan, tapi saya rasa ada banyak cara mereka boleh menyumbang tenaga mereka kepada masyarakat. Contohnya boleh menjadi pekerja amal dalam kawasan tempatan. Menjadi pekerja amal juga mampu menawarkan perkhidmatan kepada penduduk tempatan, bukankah begitu?


No comments :

Post a Comment